MEWAKILKAN QURBAN

“Mewakilkan Qurban”

Said Sabiq dalam kitabnya “Fiqhus Sunnah”, membolehkan daging qurban dipindahkan ke negeri lain.

Juga dibolehkan wang dari suatu negara ke negara lain dengan tujuan untuk membeli haiwan qurban dan menyembelihkannya di negeri itu.

Said Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Mazhab Syafi’e di Mekah, pernah ditanya orang tentang masalah itu dan juga apakah sama hukumnya dengan aqiqah?

Said Al-Bakri dalam kitabnya “I’anatut Thalibin” memuat jawapan terhadap pertanyaan tersebut, jawabnya ialah sah dan boleh berwakil untuk pembelian qurban dan aqiqah dan boleh pula berwakil untuk menyembelihnya walaupun orang yang empunya di luar negeri.

Imam kita (mazhab Syafi’e) berpendapat bahawa orang yang halal sembelihannya boleh berwakil kepada orang lain untuk menyembelih qurban. Dan boleh pula berwasiat untuk membeli haiwan dan menyembelih qurban. Sedangkan yang empunya qurban itu sunat menyaksikan upacara penyembelihan qurbannya.

Dalam hal ini hukumnya adalah sama dengan hukum untuk ibadah aqiqah.

Penentuan hukum ini bersandarkan sebuah riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah mengirim haiwan hadiah (qurban) dari Madinah ke Makkah untuk disembelih di Makkah.

Walaupun begitu, tidak boleh seseorang melakukan qurban bagi pihak orang lain kecuali dengan izin orang yang bersangkutan itu. Syarat ini tidak termasuk ibadah qurban yang dilaksanakan untuk ahli keluarga sendiri .

Maka ayah boleh menyembelih qurban untuk anaknya, dan begitu juga sebaliknya, anak boleh menyembelih qurban ibu yang menjadi tanggungannya, meskipun yang bersangkutan tidak diberitahu.

Adapun orang yang sudah mati sedangkan pada masa hidupnya ada berwasiat untuk berqurban, maka ahli warisnya hendaklah melaksanakan qurban untuknya. Wasiat itu dianggap sebagai izinnya.

Borang Qurban & Aqiqah

Add a Comment